Isnin, 29 November 2010

Malaikat Maut Memerhatikan Wajah Manusia 70 Kali Dalam Sehari

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati. Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat izrail.
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasullah bersabda yang bermaksud: bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia dibumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutuskan oleh Allah s.w.t untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."
Justeru tidak hairanlah, jika manusia ramai yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah-olah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah s.w.t 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini, adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?
Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa samada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia sedih kerana berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh sahaja akan membawa bertemu Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan